Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Perubahan struktur kejurulatihan dan ketiadaan Rashid Sidek tidak akan memberi kesan kepada corak latihan Datuk Lee Chong Wei.

Walaupun masih menunggu keputusan Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Chong Wei mula turun berlatih seperti biasa bermula semalam.

Selepas bekas ketua jurulatih perseorangan BAM Rashid membuat keputusan meninggalkan BAM, senario itu dijangka tidak memberi kesan kepada corak latihan Chong Wei.

“Bagi saya semua jurulatih lebih kurang sama. Kami bagai satu keluarga terutama di bahagian perseorangan lelaki,” katanya di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, tidak kira Hendrawan atau Tey Seu Bock masing-masing mempunyai tugas sama termasuk menjaga pemain ketika di mana-mana kejohanan.

“Kehadiran Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM) mungkin memberi sedikit perubahan dalam program latihan atau struktur kejurulatihan,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Ditanya mengenai komen pemain China, Lin Dan yang berharap dapat bertemunya semula di Sukan Olimpik 2016 Rio, Chong Wei berkata, dia tidak fikir sejauh itu sehingga mendapat keputusan perbicaraannya.

“Kita sekarang perlu menunggu hingga kes ini selesai. Saya cuma berharap mendapat keputusan yang baik dan membuat perancangan untuk beraksi pada kejohanan terdekat.

“Saya tidak kisah apa yang dia (Lin Dan) cakap, kerana fikiran saya kini hanya terarah kepada keputusan perbicaraan itu bukannya Sukan Olimpik,” katanya.

Ikon badminton negara itu perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga minggu lagi untuk mengetahui keputusan perbicaraan yang berlangsung di Amsterdam Sabtu lalu.

“Saya terus berlatih dan pada masa sama menunggu keputusan ini dikeluarkan dalam tempoh tiga minggu,” katanya yang percaya rankingnya akan merudum lagi bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:07 AM