Mohd Shukrie (kiri) dan Ressel selepas memeterai MoU kerjasama di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Shukrie (kiri) dan Ressel selepas memeterai MoU kerjasama di Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) optimis Pusat Pengedaran Serantau e-Dagang yang bakal dibina mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu perubahan dalam industri e-dagang dan logistik serantau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pembangunan pusat itu sebahagian daripada hala tuju Pos Malaysia di ASEAN iaitu menjadi pemberi khidmat menyeluruh bagi Penyedia Logistik Berintegrasi (ILS).

“Pusat ini menjadi pusat sehenti yang menawarkan khidmat nilai tambah seperti penyelesaian logistik, pengangkutan air-laut-udara, penghantaran antarabangsa, khidmat pos dan kurier serta pergudangan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Pos Malaysia dan Lazada, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Hans-Peter Ressel.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan bergabung tenaga dalam melaksanakan pembangunan pusat berkenaan yang bernilai RM60 juta.

Beliau berkata, pusat itu dibina di tapak Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang apabila Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperuntukkan kawasan seluas 430,000 kaki persegi bagi pusat itu dengan 330,000 kaki persegi bagi Pusat Pengedaran Lazada.

Menurutnya, ia mampu menguruskan 182,000 tan barangan dan Pos Malaysia menyasarkan 34 juta barangan pada 2018 dan 64 juta barangan pada 2019.

“Kami akan membiayai kos infrastruktur dan Lazada memberi sokongan kerjasama lima tahun dengan kepakaran e-Dagangnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:02 AM