LAZADA Logistics sebelum ini dikenali secara berasingan sebagai Lazada eLogistics (LEL) dan Lazada Express (LEX).
LAZADA Logistics sebelum ini dikenali secara berasingan sebagai Lazada eLogistics (LEL) dan Lazada Express (LEX).

Kuala Lumpur: Lazada, platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara mengumumkan penjenamaan semula bahagian logistiknya - Lazada Logistics.

Lazada Logistics sebelum ini dikenali secara berasingan sebagai Lazada eLogistics (LEL) dan Lazada Express (LEX) yang mana LEL menguruskan perkhidmatan penunaian pesanan dan logistik dengan penyedia logistik pihak ketiga (3PL) manakala LEX pula mengendalikan khidmat penghantaran bungkusan kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada, Chun Li berkata, sepanjang sedekad lalu, rangkaian logistik hak milik Lazada mencorakkan semula persekitaran e-dagang di rantau paling ramai penduduk dan pelbagai dari segi geografi.

"Keupayaan logistik ini membolehkan Lazada menyediakan perkhidmatan penghantaran terbaik dalam kelasnya kepada pengguna di seluruh rantau selain memberikan perkhidmatan dari mula hingga akhir tanpa kerenah kepada penjual dan rakan niaga.

"Penjenamaan semula ini mencerminkan kemajuan penting yang kami capai selama ini diterajui oleh insan dan teknologi," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sejajar dengan penjenamaan semula ini, Lazada Logistics turut memperkenalkan perkhidmatan logistik berbilang saluran (MCL) yang menyediakan penyelesaian penunaian stok tunggal untuk membolehkan pengendali e-dagang dan jenama menunaikan pesanan meliputi semua saluran e-dagang dengan lancar.

"Sama ada pengguna membuat pesanan di Lazada atau saluran e-dagang lain, Lazada Logistics akan menunaikan semua pesanan berkenaan.

"Di bawah perjanjian ini, Lazada menyimpan produk peniaga dan rakan e-dagang membolehkan pesanan dikendalikan dan dikirim dengan pantas menerusi rangkaian penghantaran Lazada sendiri, rakan 3PL atau khidmat penghantaran yang ditentukan saluran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 7:36 AM