Kuala Lumpur: Gara-gara kesakitan di bahagian lengan, pelumba Supersport negara, Zulfahmi Khairuddin gagal menamatkan perlumbaan di pusingan keempat Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Assen, Belanda, Ahad lalu dan episod berkenaan nyata memberi kesan mendalam buatnya.

Kegagalan itu adalah yang kedua menimpa pelumba berpengalaman negara dari pasukan Orelac Racing itu selepas dia turut gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan kedua di Burriram, Thailand.

Dua kegagalan itu menyaksikan Zulfahmi hanya dapat mengumpul enam mata selepas empat pusingan.

“Saya jangka dapat beraksi dengan baik pada hari perlumbaan dan cuba mendapatkan beberapa mata.

“Malah, saya bermula dengan baik dan dapat menduduki tempat ke-16 selepas berakhir pusingan pertama, tetapi selepas itu berdepan kesakitan.

“Saya cuba meneruskan perlumbaan, tetapi kesakitan yang dihadapi semakin teruk. Saya tiada pilihan selain terpaksa bersara,” katanya.

Jelas Zulfahmi, rakan sepasukannya juga kecewa dengan nasib yang menimpanya itu selepas bekerja keras menyediakan jentera terbaik.

“Jentera tidak berdepan sebarang masalah sepanjang minggu perlumbaan. Jadi adalah amat memalukan saya tak dapat menamatkan perlumbaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 8:51 AM