myMetro

Kuala Lumpur: Pelumba Supersport negara Zulfahmi Khairuddin (gambar) mengharapkan sesuatu yang lebih positif pada pusingan keempat Kejuaraan Superbike Dunia di Litar Assen, Belanda minggu ini.

Segala-galanya selepas dia hanya mampu meraih enam mata daripada tiga pusingan terdahulu, sesuatu yang menyaksikannya kurang berpuas hati dengan pencapaian di awal saingan berbanding apa yang disasarkannya.

“Benar selepas tiga pusingan saya hanya dapat mengutip enam mata saja.

“Memang ia bukanlah jumlah mata yang banyak terutama selepas kegagalan saya menamatkan perlumbaan pada pusingan kedua di Burriram, Thailand,” katanya.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu yang beraksi bersama Orelac Racing Team tetap kekal positif dan mengharapkan Assen menjadi detik kebangkitan semula untuk memungut lebih banyak mata.

“Seperti pada perlumbaan lain, saya akan sedaya upaya berusaha untuk mendapatkan kedudukan terbaik pada perlumbaan sebenar.

“Sebab jika itu berlaku, ia memberi peluang lebih besar kepada saya untuk bersaing dengan kelompok depan.

“Perkara paling penting ialah saya perlu konsisten sejak daripada sesi latihan bebas lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 4:30 AM