Kuala Lumpur: Pelumba Supersport negara Zulfahmi Khairuddin (gambar) mengharapkan jentera lebih konsisten pada pusingan kedua Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Aragon, Sepanyol minggu ini.

Pelumba Orelac Racing Team itu berdepan kekecewaan pada pusingan kedua di Thailand dua minggu lalu apabila gagal menamatkan perlumbaan berikutan masalah enjin meskipun bermula di petak kelima.

Keputusan itu mengecewakan Zulfahmi, tetapi pada masa sama dia enggan menyalahkan krew pasukannya.

“Saya amat berharap di Aragon segala-galanya berjalan lancar. Saya yakin pasukan kami sudah mengetahui masalah dihadapi di Thailand.

“Rakan sepasukan bekerja keras sejak dua minggu lalu untuk memastikan masalah sama tidak berulang,” katanya.

Jelas Zulfahmi, dia akan terus kekal positif meskipun keputusan awal musim agak mengecewakan dan tidak memenuhi sasarannya.

“Saya percaya kali ini pasukan akan menyediakan jentera kompetitif.

“Untuk saya, fokus utama adalah mengekalkan prestasi tunggangan dan cuba meraih keputusan kompetitif sejak sesi latihan bebas pertama bermula esok (hari ini) sehingga ke hari perlumbaan (Ahad),” katanya.

Selepas dua pusingan, Zulfahmi yang beraksi pada musim kedua di WSBK baru meraih empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 7:25 AM