Kuala Lumpur: Pelumba Supersport negara Zulfahmi Khairuddin (gambar) mengakui kecewa kerana gagal meraih sebarang mata dalam tiga pusingan terakhir Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Terbaru, pelumba Orelac Racing Team itu sekadar menamatkan pusingan kelima di Litar Donington Park, Britain di tempat ke-20.

“Beberapa perlumbaan terakhir nyata agak sukar untuk pasukan kerana kami berdepan isu teknikal. Tapi sekarang ini situasi itu sudah dapat diatasi dan kami sedang memberi tumpuan kepada sesi kelayakan dan perlumbaan sebenar.

“Saya sedar perlu memberikan 110 peratus pada sesi latihan dan kelayakan bagi membantu meraih kedudukan terbaik pada perlumbaan sebenar,” katanya.

Bagaimanapun jelas Zulfahmi, dia dapat berasakan jentera mempunyai karakter berbeza bergantung kepada penggunaan tayar baru atau lama.

“Pada perlumbaan di Donington, saya tidak begitu pantas untuk bersaing dengan kelompok depan.

“Saya mampu kekal bersaing bersama mereka tapi tidak mampu untuk memotong,” katanya.

“Kami sudah mempunyai beberapa idea baru untuk meningkatkan lagi prestasi jentera bagi pusingan seterusnya di Misano dan saya perlu konsisten bermula di sesi latihan pertama lagi,” ujarnya.

Selepas enam pusingan, Zulfahmi hanya mampu menduduki tangga ke-28 keseluruhan dengan meraih enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 8:24 AM