Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim mahu Mohd Irfan Shamsuddin serta A Kavee berdamai secara baik bagi menyelesaikan isu pergaduhan sebelum ini.

Karim juga meminta atlet lempar cakera serta lompat tinggi negara itu menggugurkan laporan polis yang dibuat kedua-duanya selepas dilaporkan bergaduh di Blok Casa 2, asrama Majlis Sukan Negara (MSN), Disember lalu.

Sekiranya kedua-duanya berdamai, maka peluang untuk Irfan yang sudah layak beraksi di Sukan SEA Singapura, Jun ini lebih cerah untuk dihantar ke temasya dwi tahunan itu.

“Oleh sebab sudah menjadi kes polis, usaha MSN dan KOM adalah untuk mendamaikan mereka.

“Sekarang ini terserah kepada polis tapi sekiranya kedua-dua atlet ini boleh selesaikan masalah mereka ataupun menarik semula kes, itu amat baik.

“Peluang itu ada (ke Sukan SEA) kalau mereka boleh bincang atau tarik kes.

“Kedua-duanya sudah menghantar surat kepada saya, tapi itu bukan persoalannya kerana kami mahu mereka selesaikan masalah itu atas nama baik sukan. Jika tidak, biar polis saja yang menyelesaikannya,” kata Karim pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dengan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:02 AM