Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Sukan olahraga tidak pernah lekang dengan kontroversi dan ia kembali hangat dengan  menjadi tajuk utama di dada akhbar sekembalinya Datuk Karim Ibrahim menerajui sukan itu.

Aura Karim tidak lagi perlu dipertikaikan apabila ia mampu menggegarkan olahraga negara selepas diberi kepercayaan menerajui pucuk pimpinan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) biarpun penah dikaitkan dengan kemerosotan sukan itu ketika di bawah era kepimpinannya selaku Timbalan Presiden dua penggal lalu. 

Bukti cubaan beberapa bekas atlet dan jurulatih kebangsaan dengan mengheret Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila menghantar petisyen berhubung salah guna kuasa Karim sebelum ini gagal apabila beliau menerima sokongan padu daripada ahli gabungan

Karim dengan mudah memenangi perebutan kerusi nombor satu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM ke-11, menewaskan bekas Timbalan Presiden penggal lalu Datuk Wan Hisham Wan Salleh menerusi 33 undi berbanding hanya lapan diperolehi Wan Hisham.

Segala sejarah hitam Karim yang juga kini meneraju Persatuan Olahraga Perak (POP) sebagai presiden suatu ketika dahulu seolah-olah sudah dilupakan oleh 33 perwakilan yang mengundinya untuk kerusi nombor satu berkenaan.

Sebelum beliau dilantik sebagai presiden, kehadiran bekas presiden Datuk Seri Shahidan Kassim yang menggunakan pendekatan tarik tali apabila mengumumkan untuk kembali merebut jawatan itu namun akhirnya menarik diri sudah mampu menggambarkan konflik dalaman olahraga.

Jika olahraga tampak tidak bermaya ketika di bawah pimpinan Datuk Zainal Abidin yang lebih gemar mengamalkan pendekatan berdiam diri, kembalinya Karim mula mewarnai dunia olahraga namun bukan kerana kejayaan pencapaian dikalangan atletnya tetapi kontroversi yang tercetus di bawah pimpinannya. 

Perlu diakui kemelut yang berlaku dalam badan induk olahraga negara itu mampu merencatkan pembangunan sukan itu yang kini perlu semakin merudum selepas beberapa atlet senior mengumumkan persaraan.

Karim bagaimanapun membuktikan apa yang dikata apabila mahu melupakan semua episod hitam dengan mula mendekati atlet dan mengambil pendekatan menambat hati atlet senior.

Pengambilan dua atlet senior negara Noraseela Khalid dan Robani Hassan yang dahulunya lantang mengkritik pimpinan Karim kini diberi peluang mengembangkan bakat mereka dan bakal menukar status dari atlet ke jurulatih di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan diberi peluang dua tahun oleh KOM untuk mempelajari ilmu kejurulatihan cukup bijak.

Namun semua itu tidak terhenti begitu saja dan ketika atlet olahraga mula serius untuk mencari tempat melayakkan diri ke temasya Sukan SEA Singapura Jun ini, dua episod berdarah membabitkan KOM baru-baru ini mengejutkan ramai pihak.

Belum pun selesai kes pergaduhan membabitkan pemegang rekod kebangsaan lempar cakra, Muhammad Irfan Shamsuddin didakwa membelasah rakan sepelatih A Kavee di asrama MSN awal bulan lalu, berita Naib Presiden KOM, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, cedera ditembak di hadapan rumahnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, minggu lalu kini menjadi sebutan. 

Peluang Irfan untuk beraksi di Singapura pada temasya dwi tahunan itu kini samar biarpun sudah melayakkan diri secara merit dengan dia perlu bersedia untuk menerima sebarang hukuman yang bakal dijatuhkan kepadanya.

Irfan boleh dijatuhkan hukuman sekurang-kurangnya tiga atau enam bulan dengan Karim mengumumkan akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana mahu menunggu laporan dari MSN sebelum menentukan bentuk hukuman ke atas atlet berkenaan.

Sementara itu surat layang berbaur ugutan yang meminta Karim dan Noorul Ariffin meletakkan jawatan dalam KOM dikatakan mempunyai kaitan terhadap kes tembakan itu.  

Dalam kejadian pada jam 10 Khamis lalu, Noorul baru pulang selepas menghadiri majlis di sebuah masjid meletakkan kereta jenis Mercedes miliknya di hadapan rumah sebelum didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal yang secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan dengan satu daripadanya mengenai kaki kanannya.

Noorul Ariffin langsung tidak menyangka ugutan melalui surat layang yang dihantar ke pejabat KOM tiga minggu lalu, benar-benar menjadi satu tragedi buatnya. 

Bagaimanapun diharapkan apa yang berlaku dalam dunia sukan negara terutama olahraga tidak mematahkan semangat juang Karim dan atlet untuk kembali berjuang demi maruah negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:02 AM