Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail (gambar) sudah mengarahkan dua atlet olahraga yang terbabit dengan insiden pergaduhan di Blok Casa 2 MSN pada Sabtu lalu keluar daripada asrama mereka.

Jelas Ahmad Shapawi, tindakan kedua-dua atlet iaitu pemegang rekod kebangsaan acara lempar cakera Mohd Irfan Shamsuddin serta atlet lompat tinggi A Kavee amat mengecewakan pihaknya.

“Saya sudah arahkan tindakan serta merta meminta kedua-duanya dikeluarkan dari asrama MSN dan kes mereka akan dirujuk kepada KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) untuk tindakan lanjut.

“Kami akan menunggu hasil siasatan polis kerana kedua-duanya sudah membuat laporan polis. Mesyuarat khas akan diadakan dengan KOM seawal Januari tahun depan.

“Sementara itu kedua-duanya diarahkan bercuti. KOM juga digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pergaduhan di Blok Casa 2 MSN itu difahamkan berpunca daripada Irfan yang tidak berpuas hati dengan Kavee kerana didakwa tidak menghormatinya sebelum membawa kepada adegan tumbuk menumbuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:15 AM