Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpu: Tiada jaminan atlet lempar cakera negara Mohd Irfan Shamsuddin (gambar) akan beraksi di Sukan SEA Singapura pada Jun meskipun pemegang rekod kebangsaan berusia 19 tahun itu sudah layak beraksi di temasya dwi tahunan itu.

Segalanya gara-gara insiden pergaduhan membabitkan dirinya dengan atlet lompat tinggi, A Kavee yang mendakwa dipukul Irfan hingga mendatangkan kecederaan serius bulan lalu.

Meskipun tidak menyatakan dengan jelas, nada Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim memberi gambaran kedudukan Irfan masih belum pasti sama ada akan dihantar ke Singapura atau sebaliknya.

Katanya, segala-galanya terpulang kepada laporan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas insiden itu berlaku di Blok Casa 2, asrama MSN, Bukit Jalil.

“Dia memang sudah layak, tapi sama ada dia pergi ke Sukan SEA atau tidak, itu persoalan yang panjang.

“Kami kena tunggu laporan daripada MSN dulu sebelum kita tengok apakah langkah perlu diambil selepas itu,” katanya pada sidang media semalam.

Karim berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi dalam soal disiplin sambil memberi contoh KOM pernah mengenakan tindakan kepada altet yang melanggar disiplin sebelum ini.

“Dalam beberapa temasya Sukan SEA sebelum ini, kita juga sudah ambil tindakan kepada ramai atlet berpotensi.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian. Kita tunggu dulu laporan daripada MSN,” katanya.

Hingga kini, Irfan adalah antara lapan atlet negara yang sudah layak beraksi di Singapura.

Arena Metro sebelum ini melaporkan pergaduhan itu difahamkan tercetus akibat rasa tidak puas hati Irfan yang menganggap Kavee tidak menghormatinya.

Dia didakwa menggunakan sebatang kayu dan memukul Kavee di bahagian rusuk.

Akibat pergaduhan itu, Kavee pengsan hingga terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kedua-dua atlet itu disingkirkan daripada asrama MSN serta merta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:12 AM