Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Kanak-kanak lelaki patah tangan kiri selepas tersepit pada rim motosikal yang diboncengnya di Jalan Simpang Kuala, Pekan Simpang Kuala, di sini, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa berusia tujuh tahun membonceng motosikal ditunggang ibunya melalui jalan berkenaan sebelum tiba-tiba terjatuh dan tangannya tersepit.

Kejadian mengerikan itu disedari ibunya yang segera memberhentikan motosikal untuk menyelamatkan anaknya, sebelum dibantu orang ramai yang melalui jalan tempat kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazeri Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 tengah hari dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Setibanya di tempat kejadian didapati tangan kanak-kanak lelaki tersepit pada motosikal dan diselamatkan oleh orang awam.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 11:30 PM
KANAK-KANAK cedera dibawa ke hospital. FOTO ihsan Pembaca
KANAK-KANAK cedera dibawa ke hospital. FOTO ihsan Pembaca