Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech berusaha memotong kerusi plastik selepas jari seorang kanak-kanak berusia dua tahun tersepit di dalam satu lubang dalam kejadian di Taman Tunku Putra, hari ini. Gambar ihsan bomba
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech berusaha memotong kerusi plastik selepas jari seorang kanak-kanak berusia dua tahun tersepit di dalam satu lubang dalam kejadian di Taman Tunku Putra, hari ini. Gambar ihsan bomba
Oleh Azahar Hashim


Kulim: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terpaksa menahan sakit kira-kira 30 minit apabila jari hantu tangan kanannya tersepit pada lubang kerusi plastik ketika bermain di rumahnya di Kampung Tunku Putra, Kelang Lama, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.22 petang dan sepasukan anggota bersama sebuah jentera tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian sebelum berjaya mengeluarkan jari yang tersepit.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati jari hantu tangan kanan kanak-kanak terbabit tersepit dalam lubang kerusi plastik.

"Anggota bomba mengunakan alat pemotong wayar bagi memotong sebahagian kerusi itu untuk mengeluarkan jari kanak-kanak terbabit.

"Kami mengambil masa beberapa minit kerana perlu berhati-hati bagi mengelakkan jari mangsa cedera," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, difahamkan kejadian berlaku ketika kanak-kanak terbabit memasukkan jarinya ke dalam lubang kerusi itu dan tiba-tiba satu daripada jarinya tersangkut.

Katanya, ahli keluarganya cuba mengeluarkan jari kanak-kanak itu, namun gagal lalu menghubungi bomba untuk bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:04 PM