ANGGOTA bomba dan orang ramai  cuba membantu mengeluarkan jari kanak-kanak perempuan yang tersepit pada eskalator sebuah pasar raya besar di Ayer Keroh.
ANGGOTA bomba dan orang ramai cuba membantu mengeluarkan jari kanak-kanak perempuan yang tersepit pada eskalator sebuah pasar raya besar di Ayer Keroh.
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun nyaris putus selepas tersepit pada eskalator di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Iman Sumaiyah Masri, dikatakan tiba-tiba terjatuh sebelum tangannya tersepit pada eskalator.

Mangsa ke pasar raya berkenaan ditemani ibu dan kakaknya. Dia menahan kesakitan hampir 15 minit sebelum bomba mengeluarkan tangan kanannya yang tersepit pada mesin terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II, Ashraf Abdullah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.02 malam, sebuah jentera bomba bersama seorang pegawai dan 11 anggota dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, sejurus tiba anggota operasi menenangkan kanak-kanak terbabit, ketika itu dalam keadaan menahan kesakitan, selain menangis sebelum meneruskan usaha mengeluarkan tangannya yang tersepit.

“Kami perlu tenangkan mangsa terlebih dulu kerana risau kanak-kanak terbabit panik hingga membantutkan usaha menyelamat. Selepas melakukan pemeriksaan kami menggunakan mesin hidraulik untuk melepaskan tangan kanak-kanak itu.

“Lima minit kemudian tangan kanak-kanak itu dilepaskan, pemeriksaan awal mendapati anggota badan mangsa hanya melecet dan dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas orang awam mematikan suis eskalator sebaik menyedari kejadian mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih serius.

Ashraf berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, berikutan itu beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak mereka ketika menggunakan eskalator.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 11:16 AM