Adib akan umum perkahwinan tiba masanya.
Adib akan umum perkahwinan tiba masanya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios, Adib Khalid yang juga anak tiri penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dengan pelakon Izara Aishah tahun ini.

Adib bagaimanapun belum bersedia berkongsi tarikh dan butiran majlis perkahwinan mereka.

"Ya, kami akan berkahwin tahun ini. Cuma buat masa sekarang saya belum boleh berkongsi lebih lanjut.

"Insya-Allah kalau sudah ada keputusan muktamad dibuat, saya akan menghebahkannya kepada semua," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada majlis perkahwinan mereka akan berlangsung pada Ogos depan seperti didakwa, Adib tetap tidak berganjak dengan jawapannya.

"Kami masih dalam perbincangan. Apabila tiba masanya, saya akan kongsikan berita gembira ini," katanya.

Desas-desus mengenai perkahwinan Adib dan Izara mulai diperkatakan awal tahun ini. Namun, ketika itu Izara tidak memberikan sebarang kepastian mengenai perancangan majlis perkahwinan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 5:18 PM