Ismail ditahan di hospital sejak empat hari lalu. FOTO fail HM/IG Ismail Izzani
Ismail ditahan di hospital sejak empat hari lalu. FOTO fail HM/IG Ismail Izzani
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Ismail Izzani, 18, yang ditahan di wad sejak empat hari lalu akibat sakit tonsil, mungkin dibenarkan pulang ke rumah pada hari ini, atau esok.

Pengurusnya, Adib Hamdi dihubungi berkata, keadaannya bertambah baik namun tidak boleh terlalu banyak bercakap.

“Keadaannya semakin baik, namun saya tak benarkan dia bercakap banyak atas nasihat doktor.

“Insya-Allah, kalau semuanya dalam keadaan baik, dia akan dibenarkan pulang pada hari ini atau esok,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihak hospital juga sedang mencari tarikh untuk menjalankan pembedahan berkaitan, namun bukan dalam masa terdekat.

“Pihak hospital menasihatkan supaya dia menjalani pembedahan memandangkan sudah menghidap tonsil itu sejak setahun lalu.

“Kalau mengikut apa dimaklumkan kepada saya, mungkin dalam bulan Ramadan tahun depan kerana itu adalah waktu yang sesuai untuk dia berehat daripada aktiviti nyanyian,” katanya.

Adib yang mewakili Ismail juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang meluangkan masa membuat lawatan.

“Antara datang melawat adalah kawan-kawan terdekatnya seperti Ara Johari, Sufian Suhaimi dan Wany Hasrita,” katanya.

Adib turut meminta netizen supaya tidak membuat andaian dengan mengatakan apa yang berlaku adalah gimik semata-mata.

“Mungkin isu gimik artis hangat diperkatakan sekarang. Tapi, ini bukanlah gimik seperti disebut beberapa individu di media sosial.

“Tak mungkin pihak kami buat gimik sedangkan dia benar-benar sakit.

“Banyak jemputan persembahan terpaksa ditolak, dan kalau ia gimik, takkan Ismail dan pihak kami nak rugikan diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 4:59 PM