ADIB mencium Siti Zubaidah sebagai tanda terima kasih selepas bersusah payah mencari wang untuk membebaskannya dari Penjara Nathawee, Songkla, Thailand. Foto NOORAZURA ABDUL RAHMAN
ADIB mencium Siti Zubaidah sebagai tanda terima kasih selepas bersusah payah mencari wang untuk membebaskannya dari Penjara Nathawee, Songkla, Thailand. Foto NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


“TERIMA kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu menghulurkan sumbangan sehingga saya dibebaskan kelmarin, dan selamat menjejakkan kaki di sempadan negara, petang semalam,” kata Wan Mohd Amirul Adib Wan Mohd Subhi, 22.

Adib berkata, dia sangat bersyukur apabila dibebaskan dari penjara Nathawee, Songkla, Thailand jam 8 malam selepas sebulan ditahan reman kerana membawa walkie-talkie ketika membawa tujuh pelancong dari negara ini pada 14 Disember lalu.

Katanya, pengalaman di dalam penjara itu menjadi pengajaran untuknya supaya lebih berhati-hati dan memahami undang-undang yang perlu dipatuhi di negara lain.

“Ketika berada di dalam penjara, saya seolah-olah reda dan tidak mahu menyusahkan ibu bapa untuk mencari duit bagi membayar denda kerana kos RM51,800 itu terlalu tinggi. Saya tahu mereka tidak mampu untuk mendapatkan duit sebanyak itu.

“Saya memang sangat tertekan, namun bersyukur ditemukan dengan tahanan rakyat Malaysia lain yang banyak memberi semangat. Jika tidak saya mungkin akan kemurungan,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Lumba Kuda, Alor Setar, hari ini.

Adib berkata, dia kini serik untuk pergi ke Thailand pada masa depan kerana trauma dengan situasi yang dialami ketika ditahan.

Buat masa ini, katanya, dia mahu berehat seketika dan mencari kerja lain yang lebih menjamin masa depan.

Sementara itu, ibu Adib, Siti Zubaidah Saad, 48, berkata hanya Allah sahaja boleh membalas jasa rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan lebih RM20,000.

Katanya, dia sangat terhutang budi kepada rakyat Malaysia, pegawai Menteri Besar Kedah, Mohd Azril Ramli dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Pendang tanpa mengira penat lelah, membantu membebaskan anak ketiga daripada lima beradik itu.

“Semua kos bagi menjamin dan melantik peguam di sana (Thailand) mencecah hampir RM70,000. Saya terpaksa meminjam, menggadai barang kemas dan merayu sumbangan orang ramai.

“Yang paling memilukan kakak Adib turut mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM20,000 yang sepatutnya digunakan untuk berkahwin tidak lama lagi.

“Keluarga saya memang kesempitan wang sekarang, suami saya hanya bekerja sebagai tukang urut manakala saya menjual lemang. Beberapa bulan lagi kami perlu mencari rumah sewa lain berikutan rumah yang kami tinggal sekarang akan dijual,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Afiqah Baharuddin, 22, berdepan masalah bagi menjamin suaminya yang ditahan di Thailand kerana memiliki walkie-talkie.

Adib yang juga penasihat jualan sebelum ini melakukan kerja sampingan baru kali pertama menjadi pemandu pelancong untuk membawa masuk pelancong ke negara terbabit.

Bagaimanapun, dia ditahan kerana kesalahan membawa walkie talkie dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dipandunya tidak mempunyai permit kenderaan serta pelbagai kesalahan lain.

Berita berkaitan

'Adib bebas tak lama lagi'

Harap Adib dapat dibawa pulang esok....

'Syukur, wang dah cukup...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 7:54 PM