SEORANG petugas menyusun kotak undi menjelang pilihan raya pusingan kedua gabenor Jakarta di satu lokasi di Jakarta kelmarin. - Antara
SEORANG petugas menyusun kotak undi menjelang pilihan raya pusingan kedua gabenor Jakarta di satu lokasi di Jakarta kelmarin. - Antara
Agensi

Jakarta: Satu kumpulan Islam merancang satu perhimpunan besar di Jakarta untuk memantau proses pilihan raya gabenor yang berlangsung pada Rabu ini.

Perhimpunan yang dinamakan Temasya Al Maidah itu menyasarkan kehadiran peserta seramai 1.3 juta dari seluruh negara.

Penganjur perhimpunan itu, Ansufri ID Sambo berkata, berbeza dengan perhimpunan membela Islam sebelum ini, perhimpunan berkenaan bertujuan memastikan calon beragama Islam menang seperti yang dituntut dalam surah al-Maidah.

“Berbeza dengan perhimpunan sebelum ini, Temasya Al Maidah bertujuan mengawal tempat mengundi di seluruh Jakarta.

“Di Jakarta ada kira-kira 13 ribu pusat pengundian dan kami akan mengawalnya supaya proses pilihan raya ini berjalan adil, jujur dan demokratik,” katanya.

Menurutnya, perhimpunan itu dilakukan dalam suasana kekeluargaan bukannya mahu menimbulkan perasaan takut terhadap pengundi.

“Seramai 100 ‘pengawal’ mengawal satu pusat mengundi dari mula ia dibuka hingga kertas undi dikira,” ujarnya.

Pilihan raya bagi memilih gabenor Jakarta yang baru berlangsung sengit antara penyandangnya, Basuki Tjahaja Purnama dan bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok yang beragama Kristian berdepan tuduhan menghina Islam di mahkamah.

Sementara itu, Jurucakap polis Metro Jaya, Argo Yuwono memberi amaran supaya tiada perhimpunan diadakan pada hari pengundian berkenaan terutama sekali yang dihadiri bukan penduduk Jakarta.

“Tidak perlu untuk mengawal pusat pengundian kerana ia tugas polis dan tentera Indonesia mengawal lokasi berkenaan.

“Penduduk luar Jakarta juga tidak perlu datang untuk menyertai perhimpunan ini dan kalau ada yang hadir kami akan usir,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 8:52 AM