PENUNJUK perasaan berarak di Jakarta selepas solat Jumaat, semalam.- AFP
PENUNJUK perasaan berarak di Jakarta selepas solat Jumaat, semalam.- AFP
AP

Jakarta: Ribuan orang semalam menyertai tunjuk perasaan untuk mendesak gabenor bandar raya ini yang berdepan tuduhan menghina kitab suci al-Quran dipenjarakan.

Mereka yang sebahagian besarnya berjubah putih berarak selepas solat Jumaat di Masjid Istiqlal di tengah Jakarta sebelum berhimpun di bangunan Mahkamah Agung.

Tunjuk perasaan itu diadakan beberapa hari sebelum sebuah mahkamah daerah mengumumkan keputusan perbicaraan menghina agama terhadap Gabenor Basuki Tjahaja Purnama Ahok.

Sebahagian penunjuk perasaan membawa bendera dan sepanduk dengan kata-kata ‘Keadilan mesti ditegakkan’ dan ‘Ahok mesti dipenjara.’

Pendakwa raya bulan lalu meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara tertunda dua tahun ke atas Ahok.

Tuntutan hukuman yang ringan itu dibuat sehari selepas Ahok kalah besar dalam pilihan raya memilih gabenor baru Jakarta.

Penggal perkhidmatan Ahok berakhir Oktober ini.

Hukuman maksimum bagi kesalahan menghina agama ialah penjara lima tahun. Pendakwa raya juga mengesyorkan satu tahun penjara jika Ahok mencabuli syarat pemerhatian.

Ahok dituduh menghina Islam tahun lalu apabila satu video tersebar menunjukkan dia memberitahu pengundi bahawa mereka ditipu dengan satu ayat Surah Al-Maidah yang melarang pengundi Muslim memilih bukan Islam sebagai pemimpin.

Tunjuk perasaan sebelum ini menarik ribuan peserta, sekali gus menggugat kerajaan Presiden Joko Widodo di samping menjejaskan reputasi Indonesia sebagai negara yang mengamalkan Islam sederhana.

Panel lima orang hakim dijangka mengumumkan keputusan perbicaraan terhadap Ahok Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:04 AM