NUR Hamzani (kiri) bersama dua pelancong asing menggaul Yee Sang sebelum diberikan kepada kambing jinak, Memey pada gimik sambutan Tahun Baru Cina.
NUR Hamzani (kiri) bersama dua pelancong asing menggaul Yee Sang sebelum diberikan kepada kambing jinak, Memey pada gimik sambutan Tahun Baru Cina.

Langkawi: Sajian Yee Sang kepada Memey, seekor kambing betina berusia empat tahun memeriahkan gimik sambutan Tahun Baru Cina (TBC) di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL), semalam.

Sebelum itu, acara menggaul Yee Sang dimulakan jam 10 pagi oleh kakitangan pusat pelancongan turut disertai dua pelancong dari Sweden, Sebastian Sonesson, 28, dan teman wanitanya, Helena Back, 26.

Memey adalah kambing jinak tempatan yang dibeli dan dipelihara oleh THLL sejak kecil lagi.

Pengurus Perhubungan Awam dan Pendidikan THLL Nur Hamzani Hamzah berkata, acara itu sebahagian daripada program yang disusun bagi memeriahkan sambutan TBC 2015 yang juga tahun kambing.

“Tahun lalu kami sajikan makanan tradisi masyarakat Tionghua, Yee Sang kepada keldai sebagai ganti kepada kuda, dan kali ini kami lakukan acara sama untuk kambing.

“Sungguh meriah apabila acara ini turut disertai pelancong asing yang teruja dapat bersama-sama menggaul Yee Sang sebelum diberikan kepada Memey yang jinak,” katanya ketika ditemui di sini.

Nur Hamzani juga berkata, THLL memiliki lebih 50 spesies haiwan dari dalam dan luar negara adalah antara destinasi mesti lawat kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

“Sebagai tarikan kami menyajikan beberapa acara lain pada setiap hari membolehkan pengunjung pelbagai peringkat umur yang berada di taman ini dapat berinteraksi dengan haiwan peliharaan.

“Antaranya, pengunjung boleh memberi ikan koi atau nama saintifiknya ‘Cyprinus carpio’ yang dipelihara dalam kolam makan menggunakan botol susu bayi, juga satu pengalaman baru jika berkunjung ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:26 AM