LOKMAN bersama Mua'amar Ghadafi bergambar bersama pemain selepas majlis perasmian. FOTO Mohd Fadli Hamzah
LOKMAN bersama Mua'amar Ghadafi bergambar bersama pemain selepas majlis perasmian. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Pertandingan Futsal Belia Berkemahiran Piala 1Belia 1Kemahiran (1B1K) di Presint 18, di sini hari ini menampilkan kelainan apabila mewajibkan setiap pasukan yang bertanding membawa beras dan telur sebagai yuran pendaftaran.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, pada pertandingan kali ini pihak penganjur tidak mengenakan sebarang yuran pendaftaran tetapi lima kilogram (kg) beras dan 30 telur perlu dibawa.

"Barangan ini akan diserahkan kepada rumah kebajikan terpilih seperti Pusat Perlindungan Remaja Perempuan Hamil Luar Nikah atau Mangsa Seksual (Rumah KITA), keluarga miskin bandar dan kanak-kanak jalanan di sekitar Chow Kit.

"Pendekatan itu secara tidak langsung dapat memupuk minat suka menderma dan sukarelawan dalam kalangan belia di negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Futsal Belia Berkemahiran Piala 1Belia 1Kemahiran (1B1K-MBM) 2017 anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden MBM, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Lokman Hakim berkata, pertandingan itu dilihat mampu melahirkan belia yang sihat malah dapat meningkatkan semangat kesukarelawan dalam diri mereka.

"Selain itu, ia bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia terutama di institusi latihan kemahiran tetapi dapat menggalakkan semangat menderma dan prihatin,"katanya.

Juara bagi pertandingan itu akan membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta medal dan piala. Bagi tempat kedua pula, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM500 beserta meda dan tempat ketiga dan keempat pula masing-masing membawa wang tunai RM300 dan RM200 beserta medal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 3:09 PM