Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan kepada peserta Pertandingan Futsal Belia Berkemahiran Piala 1Belia 1Kemahiran (1B1K)-Majlis Belia Malaysia (MBM) (1B1K-MBM), tetapi perlu membawa beras dan telur untuk menyertainya.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali berkata, pendekatan yang berlainan dilaksanakan ini bertujuan memupuk minat menderma dan sukarelawan dalam kalangan belia memandangkan semua barang berkenaan akan diserahkan kepada golongan yang memerlukan.

“Pertandingan kali ini berbeza kerana pihak penganjur, Majlis Belia Malaysia (MB) tidak mengenakan sebarang yuran pendaftaran tetapi mewajibkan setiap pasukan yang ingin menyertai pertandingan membawa lima kilogram (kg) beras dan 30 biji telur.

“Barangan ini kemudian diserahkan kepada rumah kebajikan terpilih seperti Pusat Perlindungan Remaja Perempuan Hamil Luar Nikah atau Mangsa Seksual (Rumah KITA), keluarga miskin bandar dan kanak-kanak jalanan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur” katanya selepas merasmikan Pertandingan Futsal 1B1K-MBM 2017 di Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden MBM Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan barangan bantuan beras dan telur kepada Pengasas Rumah KITA Vimmi Yasmin Razak.

Sebanyak 60 pasukan yang terdiri daripada belia institusi latihan di seluruh negara menyertai pertandingan berkenaan.

Lokman Hakim berkata, pertandingan yang dianjurkan MBM dengan kerjasama KBS itu bukan saja dapat menggalakkan gaya hidup sihat, malah dapat menggalakkan semangat menderma dan prihatin dalam kalangan belia terutama di institusi latihan kemahiran.

“Selain itu, pertandingan ini dapat menggalakkan belia untuk menjadi sukarelawan, malah dapat meningkatkan kemahiran untuk bekerja dalam pasukan.

“Kita mahu golongan muda menyertai aktiviti berpersatuan bagi memupuk nilai kemasyarakatan dan perpaduan kerana mereka adalah tonggak negara dalam mencapai Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) kelak,” katanya.

Sementara itu, juara pertandingan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta medal dan piala, tempat kedua wang tunai RM500 berserta medal, manakala tempat ketiga dan keempat pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM200 berserta medal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:16 AM
LOKMAN Hakim dan Mua'amar Ghadafi bergambar bersama pemain selepas berucap merasmikan Pertandingan Futsal Belia Berkemahiran Piala 1B1K-MBM 2017 di Kompleks Futsal 1 Malaysia, Presint 18, Putrajaya.
LOKMAN Hakim dan Mua'amar Ghadafi bergambar bersama pemain selepas berucap merasmikan Pertandingan Futsal Belia Berkemahiran Piala 1B1K-MBM 2017 di Kompleks Futsal 1 Malaysia, Presint 18, Putrajaya.