PASUKAN futsal Bukit Rambai FC bersama kambing yang dimenangi mereka selepas dinobatkan sebagai johan pada Kejohanan Futsal Tertutup Melaka Parlimen Tangga Batu 2023. FOTO Nuraliawati Sabri
PASUKAN futsal Bukit Rambai FC bersama kambing yang dimenangi mereka selepas dinobatkan sebagai johan pada Kejohanan Futsal Tertutup Melaka Parlimen Tangga Batu 2023. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: Pemenang atau juara kejohanan sukan selalunya akan membawa pulang hadiah wang tunai, medal atau piala. Namun berbeza bagi pasukan futsal dari Bukit Rambai FC, di sini, apabila mereka membawa pulang hadiah seekor kambing.

Kejohanan Futsal Tertutup Melaka Parlimen Tangga Batu 2023, yang disertai pasukan itu menampilkan kelainan apabila turut menawarkan seekor kambing sebagai hadiah tempat pertama selain wang tunai, medal dan piala.

Penganjur pertandingan Amar Musa berkata, cadangan menjadikan kambing antara hadiah tempat pertama dibuat secara spontan olehnya semasa sesi perbincangan dan idea itu dipersetujui.

"Kedengaran memanglah agak mencuit hati kerana hadiah (memberikan) kambing atau haiwan ternakan tidak pernah dibuat orang tetapi tidak sangka mendapat persetujuan ramai.

"Sebelum itu kami sepakat pemenang tempat pertama hanya akan memenangi wang tunai RM3,000, medal dan piala sahaja. Mungkin ini sudah rezeki buat pemenang selain saya niat ingin berkongsi hasil ternakan dengan orang lain," katanya.

Menurutnya, kejohanan yang berlangsung pada Ahad lalu itu dianjurkan oleh Aboy Cuci Aircond Services bersama Belia Madani dan Kelab Rakan Muda Tangga Batu itu mendapat penyertaan diluar jangka apabila disertai lebih 80 pasukan.

"Mulanya pihak penganjur hanya sasarkan sebanyak 60 pasukan akan sertai kejohanan futsal ini tetapi mungkin kerana tawaran hadiah kambing, kami menerima 84 penyertaan.

"Kesemua pasukan futsal ini adalah dari seluruh negeri ini kerana kita meletakkan syarat untuk anak kelahiran Melaka atau mereka yang menetap di sini," katanya.

Amar berkata, walaupun ini adalah penganjuran kali pertama dibuat pihaknya tetapi ia memberikan pengalaman yang menarik dan tidak mustahil pada penganjuran akan datang pasti ada kelainan.

Keputusan penuh kejohanan itu menyaksikan pasukan Bukit Rambai FC dinobatkan sebagai johan diikuti Paya Rumput FC tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi Bertam Ulu FC dan majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP Shanmugam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 12:35 PM