ROYSTON (tengah) mempelawa pasukan futsal mempamerkan bakat masing-masing.
ROYSTON (tengah) mempelawa pasukan futsal mempamerkan bakat masing-masing.
Oleh Pretty Licha

Mukah: Parlimen Belia Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan Kelab Futsal Daerah Dalat (KFDD) akan mengadakan Kejohanan Futsal KFDD Siri 1/2016 sempena sambutan Tahun Baru Cina 2016 bagi merebut piala pusingan Piala Parlimen Belia Malaysia Negeri Sarawak 2016.

Kejohanan itu akan dilangsungkan pada 6 hingga 9 Februari 2016 di Stadium Perpaduan Dalat.

Kejohanan selama empat hari itu akan mempertandingkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita.

Pengerusi pengelola kejohanan KFDD Siri 1/2016, Daniel Francis Klumai berkata, setiap pasukan yang berhasrat menyertai kejohanan itu akan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM110.

Katanya, pemenang akan menerima wang tunai, medal, piala dan piala pusingan ‘Parlimen Belia Malaysia Negeri Sarawak.’

Sementara itu, Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sarawak Royston Valentine berkata, kejohanan itu bukanlah satu-satunya pertandingan yang bakal dianjurkan sebaliknya pihaknya akan turut mengadakan Siri 2 sempena Aidil Fitri dan Hari Gawai manakala Siri 3 bersempena Hari Malaysia. Siri akhir pula akan dilangsungkan hujung tahun ini sempena Krismas.

Pasukan yang berhasrat menyertai pertandingan berkenaan boleh menghubungi Jazirah Sulaiman di talian 017-8048454 dan Daniel Francis Klumai (013-8243121).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:05 AM