Foto ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Foto ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang maut manakala empat yang lain cedera selepas kereta mereka terbabas ke dalam parit di KM43 lebuh raya PLUS, berhampiran Hutan Kampung, di sini, malam tadi.

Mangsa iaitu perempuan berusia lewat 20-an ditemui lemas dan tersepit di tempat duduk dalam kejadian 10.40 malam.

Lelaki dipercayai adik iparnya dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga lapan tahun hanya cedera.

Difahamkan, kereta terbabit yang dipandu lelaki itu terbabas kerana terlanggar lopak air dan tersasar ke dalam parit ketika hujan lebat di lokasi kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nozlan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 10.51 malam.

Katanya, tujuh anggota bersama satu jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang masih berada dalam kereta itu.

"Operasi dilakukan untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan rawatan awal dilakukan terhadap empat mangsa yang hanya cedera sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan ambulans.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sejurus selepas semuanya selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 10:51 AM