KERETA Proton Saga Iswara yang dipandu Muhamad Zaidi Abdul Rahman, 40, terjunam ke dalam parit berair di Jalan Sungai Petani - Alor Setar berhampiran Kampung Padang Lumat. FOTO Ihsan Bomba
KERETA Proton Saga Iswara yang dipandu Muhamad Zaidi Abdul Rahman, 40, terjunam ke dalam parit berair di Jalan Sungai Petani - Alor Setar berhampiran Kampung Padang Lumat. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI cedera di kepala selepas kereta Proton Saga Iswara yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Sungai Petani-Alor Setar berhampiran Kampung Padang Lumat, di Guar Cempedak, hari ini.

Dalam kejadian 6 petang itu, kereta dipandu mangsa, Muhamad Zaidi And Rahman, 40, dari Simpang Empat, Alor Setar dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaannya itu memasuki parit yang berada di jalan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 6.05 petang berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sezali Hasan tiba di lokasi 6.12 petang.

“Setibanya di lokasi didapati mangsa dikeluarkan dengan bantuan orang awam dan tidak tersepit.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala diberi rawatan awal oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi yang disertai enam anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) serta dua jentera itu tamat pada 6.51 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 9:53 PM