Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA polis maut selepas kereta dinaiki bersama isteri dan dua anaknya terbabit dalam kemalangan sebelum terbabas ke dalam sungai di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Konstabel Khairil Izat Romli, 34, dari Kampung Pantai Jamai, Langgar, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.40 petang berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi pada 4.52 petang bersama dua jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan termasuk sebuah lori dipercayai berlanggar antara satu sama lain.

“Berikutan itu, kereta Proton Wira dipandu mangsa terbabas ke dalam sungai berhampiran.

“Mangsa yang memandu kereta itu dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu dan bomba menggunakan khidmat kren untuk membawa naik kereta itu dari dalam sungai sebelum mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkannya dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.

KERETA Proton Wira mangsa berlanggar dengan lori menyebabkan ia terbabas ke dalam sungai di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
KERETA Proton Wira mangsa berlanggar dengan lori menyebabkan ia terbabas ke dalam sungai di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan bomba.

Beliau berkata, isteri dan dua anak mangsa dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum pihak bomba tiba.

Katanya, pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang tiba di lokasi kejadian.

“Isteri mangsa dipercayai cedera di kepala manakala dua anak mangsa cedera di kaki.

“Mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 7:55 PM
ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat mangsa selepas kemalangan di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat mangsa selepas kemalangan di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan bomba.