Keadaan kenderaan dinaiki budak lelaki dan ibu saudaranya yang remuk selepas terbabas dan merempuh sebatang pokok di Batu 9, Jalan Putra, Alor Setar, petang tadi. FOTO IHSAN JBPM Kedah
Keadaan kenderaan dinaiki budak lelaki dan ibu saudaranya yang remuk selepas terbabas dan merempuh sebatang pokok di Batu 9, Jalan Putra, Alor Setar, petang tadi. FOTO IHSAN JBPM Kedah
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Budak lelaki berusia sembilan tahun parah, ibu saudaranya berusia 30-an cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok di Batu 9, Jalan Putra, di sini petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, operasi diketuai Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nozlan Zakaria selepas menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 1 petang dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota bersama sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi dan mendapati sebuah kereta Proton Persona terbabas sebelum merempuh pokok.

"Kedua-dua mangsa yang cedera dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

"Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius di bahagian pinggang, kaki dan muka, manakala mangsa wanita dipercayai pemandu hanya mengalami cedera ringan di tangan.

"Kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan EMRS dan wanita itu dibawa dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Katanya, operasi tamat pada jam 1.47 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 10:46 PM