ANGGOTA bomba membantu mangsa tercampak ke dalam sawah selepas motosikalnya bertembung dengan kereta di Kilometer 10, Jalan Datuk Kumbar, berdekatan Kampung Alor Melintang di Alor Setar, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba membantu mangsa tercampak ke dalam sawah selepas motosikalnya bertembung dengan kereta di Kilometer 10, Jalan Datuk Kumbar, berdekatan Kampung Alor Melintang di Alor Setar, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta sebelum tercampak ke dalam sawah di Kilometer 10, Jalan Datuk Kumbar, berdekatan Kampung Alor Melintang di Alor Setar, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa, Mohamad Arif Hafizi Johari, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Ahmad Nozlan Zakaria, berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 9.07 malam, tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik tiba, anggota bomba mendapati seorang penunggang motosikal dalam keadaan tidak sedarkan diri berada di dalam sawah sebelum mereka membantu mengangkat mangsa ke tepi jalan.

“Anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian cuba memberi bantuan awal kepada mangsa, namun dia disahkan meninggal sebaik pegawai perubatan hospital tiba.

“Bagaimanapun, pemandu kereta Honda City tidak cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Nozlan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 2:39 PM