Kamarol Arifin (kiri) dan Mohd Shafa bergambar bersama selepas dihantar Junaina ke klia2 pada 31 Mac lalu dan laporan polis yang dibuat. FOTO ihsan Junaina
Kamarol Arifin (kiri) dan Mohd Shafa bergambar bersama selepas dihantar Junaina ke klia2 pada 31 Mac lalu dan laporan polis yang dibuat. FOTO ihsan Junaina
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Dua sahabat baik yang berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor dilaporkan hilang di Jakarta, Indonesia sejak 31 Mac lalu.

Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27 dan Mohd Shafa Ahmad, 29, masing-masing bekerja sebagai penghantar surat dan juruteknik kilang dipercayai hilang selepas tiba di Jakarta dengan menaiki pesawat AirAsia pada jam 2 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, (klia2).

Junaina Mohamad Darus, 33, kakak kepada Kamarol Arifin berkata, dia menyedari adiknya hilang selepas anak ke-12 daripada 13 beradik itu tidak muncul di klia2 pada hari sepatutnya dia pulang ke sini pada 11 malam, 2 April lalu.

"Pada hari pertama dia tiba di Jakarta (31 Mac), dia memang sudah tidak dapat dihubungi tetapi saya tidak syak apa-apa sebab dia berdua dan enam lagi rakannya tiba di Jakarta dua jam kemudian menaiki pesawat berasingan.

"Bila 2 April lalu, saya tunggu dia di klia2 sehingga 3 pagi, 3 April dan dia tidak muncul di klia2, baru saya sedar yang dia dan Mohd Shafa sudah hilang," katanya.

Dua sahabat itu yang ke Jakarta untuk menonton konsert Dj Armin Van Buuren di Jakarta International Expo yang diadakan di sana pada sebelah malam, 31 Mac lalu juga dilaporkan tidak mendaftar masuk ke hotel yang ditempah.

"Saya buat laporan polis pada tengah hari 3 April di klia2, buat laporan di Jabatan Imigresen di sana dan Wisma Putra di Putrajaya.

"Imigresen juga telah sahkan kepada kami sekeluarga yang mereka berdua memang sudah tiba di Jakarta dan melepasi imigresen di sana.

"Saya turut menghubungi Golden Boutique Hotel di sana tetapi diberitahu mereka tidak mendaftar masuk walaupun sudah membuat pembayaran,” katanya.

Junaina berkata, enam rakan adiknya juga tidak menemui mereka berdua di tempat yang dijanjikan di hadapan venue konsert dan hanya menyedari kehilangan dua rakan mereka itu selepas Junaina memberitahu mereka pada 2 April.

Enam rakan itu juga cuba membuat laporan polis di sana memandangkan mereka hanya akan pulang pada 3 April, tetapi polis di Jakarta tidak menerimanya kerana hanya waris saja yang boleh membuat laporan.

Justeru Junaina yang juga anak kelapan berkata, mereka sekeluarga dan keluarga Mohd Shafa yang bimbang dengan keselamatan dua sahabat itu bercadang untuk ke Jakarta dalam masa terdekat.

"Kami sekeluarga dan keluarga Mohd Shafa yang juga tinggal di kampung sama bertemu dan memikirkan apa perancangan seterusnya untuk mencari adik saya dan Mohd Shafa.

"Kami bercadang untuk ke sana minggu depan dan akan membuat laporan polis di sana supaya dapat mencari adik saya dan Mohd Shafa.

"Sesiapa saja yang ada nampak adik saya dan Mohd Shafa, mengenali atau nampak muka mereka di Jakarta, sila beritahu saya. Takut kalau mereka dirompak, tiada duit untuk pulang, pinjamkan telefon bimbit untuk hubungi kami di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 11:10 AM