Agensi

Bandar Lampung, Indonesia: Polis Indonesia menyiasat sekumpulan anggotanya yang bergambar dengan lima mayat penjenayah yang baru ditembak mati selepas gambar itu tular di media sosial.

Jurucakap polis Lampung, Sulistyaningsih memberitahu, satu kumpulan pegawai polis Indonesia datang ke bandar itu untuk menyiasat penyebaran gambar berkenaan.

“Siasatan dilakukan kerana kandungan dan penyebaran gambar itu melanggar etika pasukan polis.

“Kumpulan itu menyiasat siapa anggota polis di dalam gambar berkenaan dan siapa yang menyebarkannya di media sosial,” katanya yang dipetik kompas.com

Menurutnya, gambar itu menunjukkan pasukan khas polis dengan bangga bergambar bersama lima mayat penjenayah yang baru ditembak mati.

Lima penjenayah itu berusia 17 hingga 20 tahun dan diburu polis kerana aktif melakukan rompakan dan curi di bandar itu.

Semua penjenayah itu ditembak mati Sabtu lalu dalam satu serbuan oleh pasukan khas Tekab 308 polis Lampung.

Jurucakap polis berkata, semua penjenayah berkenaan ditembak mati selepas enggan menyerah diri dan menyerang anggota polis ketika cuba ditahan.

Beberapa pengguna laman sosial menyokong tindakan polis itu dan mengucapkan tahniah kepada mereka kerana berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah.

Bagaimanapun, sebahagian pengguna mengkritik tindakan polis bergambar dengan mayat penjenayah kerana dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan.

Selepas mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, gambar itu kemudiannya dipadamkan dari Facebook sehari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 7:51 AM