POLIS berjaya menahan suspek dengan bantuan orang ramai. FOTO Agensi
POLIS berjaya menahan suspek dengan bantuan orang ramai. FOTO Agensi
Agensi

Palembang: Tindakan dua lelaki yang melepaskan tembakan ke arah polis hanya sia-sia selepas pistol digunakan tidak berfungsi.

Kejadian Isnin lalu itu berlaku di hadapan Terminal Rajabasa di Lampung.

Ketika itu, polis cuba menahan dua suspek berusia 24 dan 30 tahun itu yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Sebelum kejadian, polis melihat suspek tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

Selain itu, motosikal berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Portal Kompas melaporkan polis yang menyedari kejadian itu kemudian bergegas mengejar motosikal dinaiki suspek dalam usaha untuk menahannya.

Ketua Trafik Bandar Lampung, Rafli Yusuf Nugraha berkata, dalam usaha meloloskan diri, suspek masuk ke dalam kawasan terminal bas berkenaan.

Menurutnya, pada masa sama, suspek juga beberapa kali cuba melepaskan tembakan, namun peluru senjata api itu tersekat.

"Malah, suspek juga sempat mengacukan pistol kepada seorang wanita dan anaknya yang berada di terminal berkenaan.

"Hasil bantuan orang ramai, polis berjaya menahan suspek dan merampas pistol berkenaan," katanya.

Tambahnya, polis kemudian menemui pistol itu di dalam poket seluar seorang daripada suspek.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 7:00 AM