Rumah kedai yang menjadi lokasi suspek mengurung mangsa. FOTO Omar Osman
Rumah kedai yang menjadi lokasi suspek mengurung mangsa. FOTO Omar Osman
Muhaamad Hafis Nawawi dan Aizat Sharif


Sungai Petani: Seorang lelaki Bangladesh yang pernah bekerja di sebuah pusat hiburan keluarga dikurung dan dibelasah bekas majikannya di sebuah rumah kedai di Taman Ria, di sini, semalam, selepas dia dituduh melesapkan wang tunai sebanyak RM20,000 tahun lalu.

Mangsa berusia 28 tahun berhenti kerja Disember lalu dan menghilangkan diri namun dikesan majikannya yang bertindak menculik dan mengurungnya di premis terbabit.

Bagaimanapun polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 1.30 pagi semalam bertindak menyelamatkan mangsa yang ditemui dalam keadaan lemah, tidak berpakaian dan tangan digari.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, mangsa sebelum itu bekerja dengan suspek berusia 44 tahun di sebuah pusat hiburan keluarga namun dipercayai melesapkan wang tunai sebanyak RM20,000.

Menurutnya, majikannya itu bersama dua lagi rakannya berusia 29 dan 38 tahun menemui mangsa sebelum membawanya ke sebuah premis dan mengurungnya.

"Suspek memukul mangsa selepas dia tidak mengaku mencuri namun polis yang menerima maklumat berhubung menyelamatkannya.

"Kita menahan ketiga-tiga suspek dan merampas sebatang rotan, sebatang besi paip, segulung paip getah, cili kering, sepasang gari dan rantai besi," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 365/324 Kanun Keseksaan dan suspek direman bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 3:44 PM