STESEN minyak di Taman Uda. Pintu yang diumpil penjenayah (gambar kecil). FOTO Nik Abdullah Omar
STESEN minyak di Taman Uda. Pintu yang diumpil penjenayah (gambar kecil). FOTO Nik Abdullah Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


EMPAT penjenayah bersenjatakan pisau melarikan wang tunai RM20,000 dari stesen minyak di Taman Uda, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Kejadian 2 pagi itu berlaku ketika pekerja lelaki berusia 20-an menjaga kaunter sebelum didatangi empat lelaki bersenjatakan pisau.

Sumber berkata, tiga lelaki yang memakai topeng serta bertopi mengumpil pintu utama menggunakan besi dan masuk ke dalam premis.

“Seorang lelaki mengacukan pisau ke arah pekerja dan meletakkannya ke dalam stor yang berada bersebelahan kaunter sebelum mengikat tangan serta kaki pekerja itu.

“Dua lagi lelaki mengambil wang tunai RM20,000 yang berada di sebuah bilik sebelum mereka melarikan diri dengan motosikal.

“Pekerja itu kemudian memaklumkan kepada majikannya berhubung kejadian sebelum membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Polis giat memburu semua suspek dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian di balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:50 PM