Gombak: Enam lelaki menyamar polis menyamun dua lelaki warga Bangladesh dalam kejadian di Selayang Baru, di sini, 21 November lalu membabitkan kerugian RM10,000.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan sedang tidur sebelum rumah didiami diketuk sekumpulan enam lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dan mahu melakukan pemeriksaan.

Menurut sumber, tindakan mangsa membuka pintu rumah kemudian bertukar mimpi ngeri apabila kedua-dua mereka terus dibelasah sebelum semua suspek melarikan sejumlah wang tunai RM10,000 dan satu telefon bimbit Samsung milik seorang mangsa.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa yang cedera turut digari.

“Siasatan polis mendapati seorang suspek turut bersenjatakan pisau dan beberapa senjata berbahaya lain bertujuan mencederakan mangsa sekiranya mangsa enggan menyerahkan barang berharga,” katanya.

Menurutnya, sebaik mendapat semua barangan berharga, semua suspek terus meninggalkan rumah mangsa.

Kedua-dua mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, polis sudah mengenal pasti seorang daripada suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 9:54 AM