Hafidzul Hilmi Mohd Noor


CEMBURU kerana rakannya pekerja cemerlang, lelaki bertindak menculik rakan sekerjanya itu sebelum memukul mangsa dalam kejadian di Bukit Puchong, kelmarin.

Difahamkan, mangsa turut diperas ugut wang berjumlah RM5,000 bagi melepaskan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Choo Lily berkata, mangsa yang juga warga Bangladesh berusia 21 tahun bekerja sebagai kelindan lori di premis penjualan besi.

"Suspek yang juga rakan sekerjanya cemburu kerana mangsa sering menerima pujian daripada majikannya dan seorang pekerja yang rajin.

"Suspek kemudian bersama tujuh hingga 10 orang rakannya menculik mangsa sebelum dibawa ke satu lokasi dan bertindak memukul mangsa menggunakan batang paip sehingga cedera," katanya ketika ditemui, Subang Jaya, hari ini.

Choo berkata, suspek kemudian mengugut mangsa untuk membayar wang berjumlah RM5,000 jika mahu dilepaskan.

"Mangsa kemudian menghubung bapa saudaranya dan bersetuju untuk membayar jumlah yang diminta.

"Bapa saudara mangsa membawa sekumpulan rakannya yang lain ketika pertemuan di sebuah stor di Bukit Puchong," katanya.

Katanya, seorang lelaki berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati, mangsa mengenali suspek yang juga rakan sekerjanya. Suspek berusia 22 adalah warga tempatan.

"Suspek kini direman dan polis giat mengesan beberapa individu lain dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 2:27 PM