GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


KERANA terdesak memerlukan wang dan dipengaruhi dadah, seorang anggota polis sanggup mengetepikan tugas apabila merompak kedai tayar dengan sebatang paip besi di Jalan Masak, Keningau, pagi tadi.

Bagaimanapun, tindakan anggota bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom itu memakan diri apabila ditahan polis di bahu jalan berhampiran Kilang Irama Ramai, dekat sini, ketika cuba melarikan diri, tengah hari tadi.

Menurut sumber, suspek bersenjatakan paip besi dikatakan datang ke premis itu lalu meminta pemilik kedai untuk menyerahkan wang dari kaunter.

"Suspek berkali-kali memaksa menyerahkan wang sambil cuba menghayun paip besi ke arah mangsa.

"Bimbang dicederakan, mangsa berusia 32 tahun menyerahkan wang lebih RM1,000 sebelum suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Saga FLX," katanya.

Sumber itu berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis dan pada 12.30 tengah hari, sepasukan anggota mengesan kereta digunakan suspek berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bulusilou, Keningau.

"Suspek yang menyedari diekori polis terus memecut kereta ke arah Jalan Kimanis, namun tidak lama selepas itu, kereta terbabit dipintas.

"Pemeriksaan dalam kereta suspek menemui batang paip berukuran 36 sentimeter dan wang tunai RM1,003 yang disembunyikan dalam balutan kain," katanya.

Menurutnya, suspek berusia 36 tahun bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan suspek mengakui terbabit dalam kes berkenaan kerana terdesak mahukan wang serta pengaruh dadah jenis syabu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 10:11 PM