Rakaman lelaki yang memperdaya dua pembantu kedai mengakibatkan kerugian RM1,800. FOTO Ihsan premis Jalan Penjara
Rakaman lelaki yang memperdaya dua pembantu kedai mengakibatkan kerugian RM1,800. FOTO Ihsan premis Jalan Penjara
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SEORANG lelaki berusia 30-an licik memperdaya dua pembantu kedai di dua lokasi berasingan di Kangar konon menuntut bayaran penyelenggaraan penghawa dingin menyebabkan kerugian RM1,800, Selasa lalu.

Kejadian itu berlaku di sebuah kedai perhiasan dalaman di Kompleks Kayangan Square dan kedai kosmetik Jalan Penjara.

Mangsa, Nurakma Izatie Rashid, 27, berkata, kejadian itu berlaku 12.50 tengah hari apabila lelaki terbabit datang menuntut bayaran selenggara penghawa dingin di kedai berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu turut mengambil kad perniagaan premis terbabit berpura-pura menghubungi majikannya.

"Sebaik selesai bercakap di telefon lelaki itu meminta saya membayar RM950 dan menyerahkan resit bayaran perkhidmatan itu.

"Saya yang tidak mengesyaki apa-apa tambahan beranggapan majikan sudah dimaklum oleh lelaki itu kemudian menyerahkan wang dimintanya," katanya.

Dia berkata, dia juga diberi kepercayaan oleh majikannya untuk melunaskan sebarang bayaran menyebabkan tidak mengesyaki sesuatu yang pelik kerana lelaki itu memanggil pemilik kedai sebagai 'kakak' seolah-olah sudah lama kenal.

Dalam satu lagi kejadian, lelaki itu turut melesapkan wang tunai RM850 selepas memperdaya pembantu kedai perhiasan dalaman menggunakan modus operandi sama sedangkan majikan mereka tidak membuat sebarang urusan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perlis Deputi Superintendan Mohd Nor Daud berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis kini sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk proses pengecaman suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 8:18 PM