KEADAAN laut bergelora menyukarkan usaha menaikkan objek dari permukaan laut ke KD Lekir. FOTO ihsan TLDM
KEADAAN laut bergelora menyukarkan usaha menaikkan objek dari permukaan laut ke KD Lekir. FOTO ihsan TLDM

Jakarta: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), hari ini, mengerahkan semua sumber termasuk anggota penyelam ke lokasi penemuan dua bongkah dipercayai badan pesawat AirAsia QZ8501 di perairan Selat Karimata, Kalimantan Tengah.

Ketua BASARNAS, Bambang Soelistyo, berkata pihaknya lega sebaik menerima maklumat penemuan bahagian badan pesawat berskala besar hari ketujuh pencarian.

“Akhirnya kita berjaya. Berikutan penemuan terbabit, semua penyelam akan diarahkan ke lokasi berkenaan. Mereka akan mencari mangsa dan mengangkatnya naik,” kata Bambang.

Beliau berkata, Kapal KRI Banda Aceh kini dalam perjalanan membawa pasukan penyelam ke titik koordinat diarahkan.

“Lokasi penemuan membabitkan kedalaman sekitar 30 meter dan boleh dicapai penyelam. Kapal itu nanti akan menjadi tempat pemindahan mangsa,” katanya.

Terdahulu, Bambang memberitahu pasukan pemindahan BASARNAS menemui dua serpihan besar metal diyakini bangkai pesawat AirAsia QZ8501 di perairan Selat Karimata, Kalimantan Tengah menerusi teknologi sonar.

Bangkai pesawat itu diimbas dalam bentuk dua dan tiga dimensi kira-kira 12.40 tengah malam tadi waktu tempatan.

Satu daripada objek berkenaan berukuran 7.2 x 0.5 meter, sementara objek lain yang berukuran 9.4 meter.

Mengikut Tempo.co, kapal KRI Banda Aceh dijangka tiba di lokasi penemuan ekor pesawat, kira-kira 3 petang Waktu Indonesia Barat (WIB).

Lokasi ekor pesawat berkenaan dikesan kapal USS Sampson dan KRI Bung Tomo di koordinat 03 55 52:LS/110 33 86 BT.

Sementara itu, lapan mayat mangsa nahas QZ8501 yang tiba dengan helikopter TNI di Lapangan Terbang Pangkalan Bun dihantar ke Hospital Sultan Imanuddin untuk diuruskan sebelum dihantar ke Surabaya.

Pengurusan lapan mayat itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa ditemui kini adalah 30 mayat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 2:45 PM