Herri menerima rawatan di ICU HSB selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca (Firdaus Abdullah)
Herri menerima rawatan di ICU HSB selepas terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca (Firdaus Abdullah)
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Pemain gitar utama kumpulan rock indie Bittersweet Hazairi Abdul Hamid, 35, atau dikenali Herri parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, pagi semalam.

Herri kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Dalam kejadian jam 5.25 pagi itu, Herri yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menghala ke Kuala Perlis, Perlis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian mangsa yang dipercayai memandu laju hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

"Siasatan mendapati mangsa sudah memiliki lesen B penuh, namun menggunakan pelekat L.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Bittersweet popular dengan lagu bercorak Inggeris, namun beberapa lagu dalam bahasa Melayu yang dinyanyikan mereka seperti Kucing Hitam dan Lukisan & Hilang.

Band kelahiran Ipoh ini juga pernah mengambil bahagian dalam acara Rock The World 16 (2016).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 12:15 AM