Herry Nizam kini sedang melaksanakan misi berjalan ke Makkah. FOTO TikTok Herry Nizam.
Herry Nizam kini sedang melaksanakan misi berjalan ke Makkah. FOTO TikTok Herry Nizam.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Seorang rakyat Malaysia memulakan misi berjalan secara solo sejauh lebih 10,000 kilometer (km) dari Malaysia ke Makkah sejak Isnin lalu.

Kisah Herry Nizam yang menggunakan nama @herrynizam4 di akaun TikToknya turut mendapat perhatian warganet apabila lelaki yang kudung tangan kiri itu memulakan perjalanannya dari Bidor, Perak.

Berdasarkan hantaran dikongsikan sebelum ini, dia memaklumkan akan merentas 12 negara melalui jalan darat bermula dengan Thailand sehingga ke Arab Saudi.

Dia turut dilihat menggalas sebuah beg bersama sehelai Jalur Gemilang.

Dalam perkongsian terbaharunya pada Ahad, dia memberitahu sudah tiba di Phatthalung, Thailand.

"Assalamualaikum sahabat semua, saya sudah sampai dekat Phatthalung. Cuaca panas terik. Selepas Zuhur, bersambung lagi ke Bangkok," tulisnya di TikTok.

Berdasarkan peta perjalanan di aplikasi Google Map, Herry difahamkan sudah menempuh perjalanan sejauh hampir 523 kilometer (km).

Dalam pada itu, rata-rata pengguna media sosial turut menyokong misi lelaki itu selain mendoakan kejayaannya.

"Semoga dipermudah segalanya," kata @Yuyu.

"Semoga dipermudahkan segala urusan dan semoga selamat sampai ke Tanah Suci..banyakkan minum air masak bang cuaca sekarang memang panas..semoga selamat sampai," kata @Cek sue.

Sejak memulakan perjalanan, dia dilihat melakukan kemas kini status perjalanan dan kedudukannya secara berkala hampir setiap hari di platform media sosialnya.

Herry dijangka menempuh perjalanan lebih 10,000 km untuk tiba ke Makkah, menurut peta perjalanan itu.

Berdasarkan peta itu, dia memerlukan masa selama 84 hari dan 10 jam bagi melengkapkan perjalanannya.

Media sebelum ini melaporkan, misi sama pernah dilakukan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Adam Muhammad yang menempuh perjalanan sejauh 6,500 km dengan berjalan dari rumahnya di Wolverhamppton, England ke Makkah.

Adam yang memulakan perjalanan pada Ogos 2021 mengambil masa selama 11 bulan dan tiba di Tanah Suci Julai 2022 bagi menunaikan haji pada usia 52 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 4:18 PM