BITTERSWEET kembali dengan album baru BTSWT selepas kali terakhir pada 2011 lalu.
BITTERSWEET kembali dengan album baru BTSWT selepas kali terakhir pada 2011 lalu.
Georgie Joseph


Ketika pasaran amat lembap bagi penjualan album fizikal, band indie Bittersweet tidak bimbang dengan hal itu.

Tampil dengan album studio ketiga berjudul BTSWT, album fizikal masih jadi keutamaan mereka.

Melancarkan buah tangan terbaru itu selepas empat tahun pembikinan, Bittersweet yang dianggotai Fizan (vokal), Herri (gitar/vokal), Moon (gitar/vokal) dan Emai (keyboard/synth) teruja apabila 500 unit cakera padat dikeluarkan sangat laris.

Bagaimanapun, band itu tidak mahu mengetepikan penjualan secara digital dan mengakui medium berkenaan tetap penting.

Cuma kepuasan mereka tetap terletak pada album fizikal dan yakin peminat juga berpendapat sebegitu.

“Seperkara mengenai Bittersweet, kami sangat menghargai dan meminati album berbentuk fizikal terutama kaset mahupun piring hitam. Kami dapati, peminat kami juga lebih memilih untuk mendapatkan yang fizikal berbanding digital.

“Namun, ikutkan logik, album fizikal memang lebih istimewa kerana ia boleh disentuh dan disimpan. Kami sendiri cukup seronok apabila mereka ada usaha mendapatkan yang fizikal sekali gus rasa sangat dihargai,” kata Fizan.

Tampil dengan album pertama pada 2006 menerusi Perfect Match, kemudian Empire’s Transition (2011), Bittersweet tidak berasakan jarak bertahun-tahun menghasilkan album baru itu pelik.

Sebaliknya, dengan tempoh berkenaan memberikan lebih masa buat mereka memastikan kualiti material berada pada tahap terbaik.

“Sebenarnya tempoh empat tahun itu bukan satu jangka masa yang panjang apatah lagi kami sendiri sangat menitikberatkan setiap butiran album. Tak mahulah menggunakan konsep tangkap muat saja,” katanya.

Memperjuangkan genre British pop rock, band berkenaan dari dulu memang sangat mengutamakan lagu berbahasa Inggeris.

Mereka ada alasan tersendiri menetapkan bahasa itu sebagai bahasa utama lagu dihasilkan.

“Seiring dengan matlamat kami mahu mengeksport produk ke peringkat antarabangsa, sebab itulah Bittersweet lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris. Ia bahasa lingua franca yang menjadi perantaraan utama hampir semua orang di seluruh dunia.

“Ia adalah pendekatan terbaik untuk lebih mudah menarik perhatian peminat dari luar negara.

“Namun bukan bermaksud kami tidak bangga dengan bahasa sendiri kerana setiap album kami pasti ada lagu Melayu juga. Seperti album pertama dulu kami mengetengahkan lagu Misai Kucing,” kata Herri.

Adakan siri jelajah selepas Aidilfitri

Yang pasti, Bittersweet mempunyai misi tersendiri untuk tahun ini apalagi sudah tampil dengan material terbaru.

Selain mahu memberikan penghargaan kepada peminat menerusi album itu, mereka berhajat meraih perhatian pendengar baru.

“Secara muzikal, kami ada menyuntik elemen baru bagi menyeimbangkan jenis muzik kami dengan muzik yang lebih mesra di telinga pendengar arus perdana. Itulah antara strategi kami demi memperkenalkan muzik kepada pendengar baru.

“Bagaimanapun, kami tidak pernah ada niat untuk menangkap peminat arus perdana kerana yakin pengikut Bittersweet selama 12 tahun ini masih kukuh. Jika ada peminat baru, lagi bagus, bukan?” Katanya.

Bukan sekadar mempertaruhkan album baru, rencana seni mereka akan menjadi lebih rancak lagi selepas ini. Masih aktif membuat persembahan di pelbagai festival muzik, band itu turut berhajat mengadakan siri jelajah sendiri.

“Itulah istimewanya memiliki album kerana sebuah album pun boleh bertahan dalam jangka masa dua hingga tiga tahun. Dalam tempoh berkenaan, ia masa terbaik untuk kami terus mendekati peminat.

“Kami sudah ada perancangan untuk mengadakan siri konsert jelajah selepas Aidilfitri nanti namun akan memfokuskan dalam negara saja dulu. Bagaimanapun, kami tidak menolak undangan festival luar negara lain dan sah akan beraksi di beberapa festival termasuk di Singapura dan Indonesia tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:42 AM