Murni Wan Omar


Selayang: Seramai 12 individu termasuk tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, tadi, atas pertuduhan merusuh di hadapan Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Syed Imran Syed Mohd Kamarudin, 23, Muhamad Khairy Mohd Kamarulzaman, 18, Adam Kamarudin, 18, Amrail Danial Alias, 20, Noor Amyfarredzuan Zainal Abidin, 32, Azwan Yaacob, 25, Mohamad Mirwanyuzair Yusri, 26, Muhammad Hazman Mohammad, 25, dan tiga remaja berusia antara 16 hingga 17, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagaimanapun seorang tertuduh Muhammad Fadzil Fauzi, 20, mengaku bersalah atas perbuatan itu.

Semua tertuduh didakwa bersama-sama sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan melaksanakan matlamat bersama iaitu melakukan kesalahan merusuh.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan 2/2, Bandar Baru Selayang (hadapan Stadium Selayang), pada jam 11.25 malam, 4 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,800 manakala RM2,000 bagi remaja bawah umur.

Mahkamah menetapkan 19 April untuk hukuman terhadap Muhammad Fadzil dan sebutan semula untuk tertuduh yang lain.

Sabtu lalu, terdapat perlawanan bola sepak Liga Super membabitkan pasukan Selangor menentang Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 2:58 PM
Sebahagian daripada 12 individu yang dituduh merusuh selepas perlawanan bola sepak antara Selangor dan Perak di Stadium Selayang pada 4 Mac lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
Sebahagian daripada 12 individu yang dituduh merusuh selepas perlawanan bola sepak antara Selangor dan Perak di Stadium Selayang pada 4 Mac lalu. FOTO Hafiz Sohaimi