Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Bekas kerani syarikat produksi milik penyanyi Datuk Sheila Majid iaitu Nasimah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dakwaan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM90,000.

Berdasarkan pertuduhan, Nasimah yang diamanahkan dengan buku cek milik Syarikat Magada Entertainment Sdn Bhd, didakwa dengan curangnya menunaikan lima keping cek atas namanya dan mendepositkan lapan keping cek ke dalam akaun bank miliknya.

Nasimah didakwa melakukan perbuatan itu di premis syarikat di Damansara Heights antara 1 November 2007 dan 28 Mac 2008.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 3:17 PM