Murni Wan Omar


Selayang: Pemandu van sekolah, Muhammad Syakir Khan Melok Khan, 21, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki, pada 21 April lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Muhammad Syakir Khan didakwa mengabaikan dan bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kematian Muhammad Iqram Danish, 6, akibat terkurung di dalam van.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan SR 4/1A, Taman Saujana Impian, Rawang, antara 2.30 petang hingga 5 petang, 21 April lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Zarifah Zainal Abidin membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dan menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 12:17 PM
SELAYANG 28 APRIL 2017. Suspek kes kanak-kanak mati di dalam van dibawa untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Selayang. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL
SELAYANG 28 APRIL 2017. Suspek kes kanak-kanak mati di dalam van dibawa untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Selayang. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL