Segala-galanya bermula pada 1886 apabila seorang ahli farmasi Atlanta menghasilkan sejenis minuman menggabungkan air sirap dan air berkarbonat sehingga mendapat pujian daripada mereka yang pernah merasainya.

Sejak itu, minuman Coca-Cola berjaya menambat hati ribuan juta pengguna di serata dunia merangkumi segenap peringkat usia.

Meraikan keriangan dan keutuhan jenama ini, Cola-Cola memperkenalkan koleksi pakaian Coca-Cola yang pertama di Malaysia dan juga pertama di rantau Asia Pasifik. Bertemakan gaya ala pelajar (preppy), koleksi ini mengembalikan semula memori indah yang tercipta sewaktu di bangku sekolah.

Tampil dengan gaya trendy, riang ria dan berwarna-warni, koleksi pakaian ini diperbuat daripada gabungan kain jaket dan kulit yang bergaya. Malah, ia juga diperkayakan dengan warna asas seperti biru, kelabu, perang, merah dan hijau berserta corak petak dan garisan kain gingham.

Koleksi Coca-Cola Preppy ini sesuai dengan golongan individu yang meminati gaya fesyen retro dan merangkumi semua jenis pakaian.

Bagi wanita pula, koleksi ini menawarkan seluar denim dalam dua pilihan warna iaitu merah manggis dan putih yang sesuai dipakai di negara beriklim tropika.Anda juga boleh tampil berbeza menerusi padanan seluar denim ini dengan baju-T.

Cukup sinonim dengan slogan utama seperti It's The Real Thing dan Always Coca-Cola yang didukung sejak 128 tahun lalu, penampilan anda dalam kolek­si pakaian ini pasti menarik perhatian ramai. Selain itu, koleksi ini juga menampilkan blaus bercorak polka dot, singlet, blaus bercorak kain gingham dan gaun kemeja-T yang cantik serta sesuai dipakai untuk bersantai.

Rangkaian baju panas dan hoodie yang memaparkan logo Coca-Cola pula sesuai untuk menghadiri aktiviti sukan, bersiar-siar pada waktu pagi mahupun petang yang dingin. Bagi melengkapkan penampilan ala pelajar, disediakan jaket besbol sebagai tanda pengenalan produk ini.

Koleksi ini juga menawarkan satu rangkaian hoodie, baju panas sarung, baju berlengan panjang, baju berlengan pendek, baju polo, kemeja-T leher bulat, singlet, gaun, seluar pendek, seluar bermuda, seluar chinos, seluar jean, legging, seluar panas, seluar pendek santai dan seluar boxer. Bagi melengkapkan penampilan, pelbagai aksesori lain seperti beg selempang pada bahu, beg jinjing, beg galas dan topi juga direka khas.

Berharga dalam ling­kungan RM49.90 sehingga RM299.90, harga mampu milik ini sememangnya berpatutan setanding koleksi pakaian yang selesa serta fabrik dan rekaan bermutu tinggi. Semua koleksi ini boleh didapati di Coca-Cola Apparels di Parkson Pavilion, Kuala Lumpur serta di semua gedung beli-belah seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:01 AM