AHMED menunjukkan rekaan baru Coca-Cola.
AHMED menunjukkan rekaan baru Coca-Cola.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Coca-Cola memperkenalkan imej terbaru barisan minuman Coca-Cola bagi memberikan paparan Satu Jenama untuk keempat-empat varian Coca-Cola yang ditawarkan.

Melalui pembaharuan berkenaan, Coca-Cola menampilkan reka bentuk logo sama bagi setiap varian dengan sedikit kelainan untuk membezakan jenis minuman yang ditawarkan sama ada Classic, Light, Vanilla atau Zero Sugar.

Malah, melalui pembaharuan itu, Coca-Cola menampilkan resepi baru bagi varian tanpa gulanya dikenali dengan nama baru iaitu Coca-Cola Zero Sugar berbanding Coca-Cola Zero sebelum ini.

Pengurus Negara, Malaysia/Singapura/Brunei, Coca-Cola Far East Limited Ahmed Yehia berkata, pihaknya menerima maklum balas berbeza dengan penampilan barisan minuman Coca-Cola yang ditawarkan.

“Kebanyakan pengguna mempunyai tanggapan bahawa setiap varian Coca-Cola adalah daripada jenama berlainan kerana menampilkan warna yang berbeza.

“Ini kerana Coca-Cola Light menampilkan tin berwarna perak manakala Coca-Cola Zero pula menggunakan hitam sebagai warna latar menjadikannya sedikit berbeza dengan Coca-Cola Classic,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, barui-baru ini.

Menurutnya, warna merah Coca-Cola sinonim dengan penggemar minuman ini dan pihaknya mengambil keputusan untuk mengekalkan warna berkenaan bagi semua varian Coca-Cola.

“Sama ada ia Classic atau Light, warna merah itu kekal dan pengguna tidak perlu ragu-ragu memilih minuman yang digemari,” katanya.

Ahmed berkata, barisan minuman Coca-Cola dengan imej baru ini akan berada di pasaran Mei nanti termasuk di Singapura dan Brunei.

“Di bawah inisiatif Satu Jenama, pengguna tidak akan lagi menyaksikan kempen penjenamaan yang berbeza bagi setiap varian, sebaliknya mengekalkan imej sama dengan sedikit perbezaan bagi membolehkan pengguna membuat pilihan tepat mengikut cita rasa, gaya hidup dan diet mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 4:59 AM