TIDAK lengkap jika dibiarkan begitu saja tanpa penataan.
TIDAK lengkap jika dibiarkan begitu saja tanpa penataan.

Salam deko. Minggu ini saya mulakan dengan tajuk baru selepas hampir sebulan bercerita berkenaan tanaman hiasan pagar atau dinding luar kediaman. Minggu ini saya menyentuh pula berkenaan hiasan di dalam rumah. Sesetengah kediaman mempunyai ruang kecil dan ada kalanya merumitkan anda untuk menghiasnya terutama sudut kecil atau terpencil. Namun sudut ini jika dibiarkan begitu saja ia nampak tidak lengkap tanpa sebarang penataan. Jadi minggu ini saya ingin berkongsi beberapa tip yang boleh diketengahkan sebagai panduan menghias sudut tertentu itu.

1. Letakkan rak sudut

Ia boleh dijadikan rak hiasan untuk menyimpan cenderahati kecil, barangan permainan atau foto kenangan yang sudah dibingkaikan.

Seelok-eloknya rak ini mempunyai kemasan pintu kaca supaya setiap perhiasan yang anda susun itu dapat dipamerkan sepenuhnya atau tidak mudah jatuh.

2. Sudut atau ruang bacaan

Ubah sudut atau ruang terbiar itu dengan penataan baru untuk tujuan pembelajaran dan bacaan.

Ini antara idea yang tepat jika kediaman anda mempunyai jendela pada sudut itu. Ia penting untuk keselesaan ketika belajar atau membaca terutama ketika siang apabila menerima cahaya semula jadi sepenuhnya.

Anda boleh mencipta perpustakaan mini yang dilengkapi dengan rak saiz atau para sesuai di sudut itu untuk menempatkan buku atau majalah.

Ketengahkan juga kerusi atau sofa berlengan untuk keselesaan di sudut itu.

3. Tanaman hiasan

Menempatkan tanaman hiasan hijau di dalam rumah sangat menyegarkan suasana dengan kitaran udara berkualiti.

Pilih bekas dan sudut sesuai dengan tanaman pilihan juga penting untuk ekosistemnya termasuk sumber cahaya semula jadi.

Jangan lupa untuk menambahkan tirai nipis untuk menapis kemasukan terus cahaya matahari jika tingkap pada sudut itu terlalu terang.

Aspek penyiraman juga perlu diberi perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:02 AM