SERLAHKAN persekitaran kemas dan terjaga.
SERLAHKAN persekitaran kemas dan terjaga.

Salam deko. Menarik juga jika minggu ini kita memperkatakan mengenai cara memanfaatkan ruang atau sudut bawah tangga yang sering mengganggu pandangan jika tidak diberi tumpuan.

Di sudut itu, anda bebas menampilkan idea kreatif supaya fungsinya dapat diketengahkan bukan sekadar tempat lambakan surat khabar atau koleksi kasut semata-mata.

Perkembangan ilmu dekorasi hari ini tentu banyak membantu kerana anda boleh mendapatkan inspirasi daripada akhbar, majalah atau media sosial. Ubah persepsi biasa dan wujudkan suasana segar yang mencuri perhatian kerana sudut bawah tangga juga boleh dijadikan tempat pelbagai guna seperti ruang menonton, ruang santai dan sudut belajar atau bekerja selain landskap mini menarik.

Mungkin idea meletakkan meja konsol dalam reka bentuk curam ke bawah atau rendah, aturan kerusi mengarah keluar dari sudut berbucu itu menambah kelainan daripada kebiasaan. Anda juga boleh meletakkan dua sofa besar tetapi bagi sudut yang kecil ia tidak digalakkan. Cukup sekadar menampilkan tempat sofa satu tempat duduk dengan penyerinya sebuah meja sisi.

Jika ada lebihan ruang, ia boleh dimanfaatkan dengan meletakkan rak buku atau untuk mempamerkan aksesori hiasan.

Susun atur menarik aksesori hiasan itu sudah pasti menggamit pandangan tetamu sebaik berkunjung ke rumah anda. Bagi sudut bawah tangga yang tinggi pula, dicadangkan beberapa kerusi dan kabinet siap dipasang diletakkan sebagai idea penataan ruang santai. Seterusnya anda yang bercadang menjadikan sudut berkenaan sebagai ruang penyimpanan barang, pastikan terlebih dulu konsep terbuka atau tertutup jenis kabinet pilihan.

Kabinet pasang siap berpintu kaca juga menarik dan pastikan aksesori di dalamnya tersusun rapi. Begitu juga dengan usaha menempatkan rak jenis bertingkat dengan pelbagai kegunaan juga secara tidak langsung dapat membantu anda menyimpan barang. Seharusnya sudut bawah tangga juga tidak terkecuali daripada sentiasa kelihatan kemas dan bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:02 AM