MENYEDIAKAN sudut bacaan khas untuk anak-anak  di rumah sememangnya dapat membantu memupuk minat anak anda
MENYEDIAKAN sudut bacaan khas untuk anak-anak di rumah sememangnya dapat membantu memupuk minat anak anda
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Menyediakan sudut bacaan khas untuk anak-anak di rumah sememangnya dapat membantu memupuk minat membaca.

Anda tidak perlu menyediakan ruang yang besar atau ruang yang terpisah untuk membuat sudut membaca.

Sebaliknya, manfaatkan sudut yang sudah sedia ada termasuk di bilik tidur mereka sendiri.

Idea dekorasi sudut bacaan untuk si kecil juga mudah kerana ia boleh disekalikan dengan ruang belajar.

Jika keluasan terhad, letakkan sebuah meja membaca, kerusi dan rak simpanan buku comel di sebelahnya.

Boleh juga letakkan sebuah beg kacang ('bean bag') yang selesa untuk mereka membaca di satu sudut kediaman.

Untuk kelihatan lebih menarik, hiasi dengan rak buku comel serta koleksi bacaan yang sesuai bagi peringkat umur si kecil.

Pemilihan rak bagaimanapun perlu sesuai dengan ketinggian mereka bagi memudahkan si comel anda mengakses kepada buku-buku yang ada.

Dalam pada itu, penting juga untuk menggunakan kombinasi warna yang sesuai dalam hiasan di sudut membaca berkenaan supaya ia kelihatan lebih menarik dan ceria pada pandangan si kecil.

Suasana bilik mahupun sudut bacaan yang kondusif mampu merangsang minat kanak-kanak untuk membaca ketika berada di rumah.

PEMILIHAN rak perlu sesuai dengan ketinggian mereka bagi memudahkan si comel anda mengakses kepada buku-buku yang ada.
PEMILIHAN rak perlu sesuai dengan ketinggian mereka bagi memudahkan si comel anda mengakses kepada buku-buku yang ada.

Justeru, warna-warna semula jadi, pastel atau lembut selalunya adalah pilihan selamat untuk dekorasi di ruang bacaan kanak-kanak.

Selain itu, sudut berkenaan juga perlu dilengkapi dengan pelbagai jenis buku sama ada ilmiah, cerita mahupun ensiklopedia yang bersesuaian.

Apabila terdapat bahan bacaan yang banyak di rumah, secara tidak langsung boleh membantu memperkaya kosa kata anak-anak di samping membantu meningkatkan proses kemantangan mereka.

Sementara itu, jika ingin menyediakan ruang membaca atau belajar kepada anak, pastikan sudut itu memiliki pencahayaan yang baik.

Untuk itu, elakkan daripada menggunakan lampu berwarna kuning atau malap di ruang bacaan kerana ia tidak sesuai untuk mata si comel.

Sebaiknya pilih lampu berwarna cerah dan bukan jenis pantulan cahaya yang terlalu terang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 6:18 AM